Monday 28 November 2016

Kehilangan aktivis kebajikan di Perlis tiada kaitan culik


KANGAR: Polis menolak kemungkinan kehilangan aktivis badan kebajikan, Amri Che Mat, sejak Khamis lalu mempunyai kaitan dengan kes culik seperti tersebar di media sosial.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ab Rashid Ab Rahim, berkata kemungkinan mangsa diculik agak kecil kerana ahli keluarga lelaki berusia 43 tahun itu tidak menerima panggilan dari mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan.

"Polis masih menjalankan siasatan, termasuk kemungkinan kaitan pembabitan mangsa dalam pelaburan forex (tukaran mata wang asing).

"Jangan buat spekulasi hingga menimbulkan kegelisahan kepada keluarga mangsa," katanya.

BH Online semalam melaporkan aktivis badan kebajikan itu tidak pulang ke rumahnya di Kangar sejak Khamis lalu, manakala kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaikinya ditemui di tapak projek di kawasan Bukit Chabang, dekat sini, dalam keadaan mencurigakan.

Kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna hitam itu ditemui seorang pengawal keselamatan dalam keadaan cermin kiri dan kanan serta belakang dipecahkan.

Mayat tersalah serah adalah milik Fong Meng Tuck


GEORGETOWN - Polis hari ini mengesahkan mayat seorang lelaki yang sebelum ini diserah kepada keluarga lain oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) adalah mayat Fong Meng Tuck, 60.  

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pengesahan itu diperoleh hasil ujian DNA terhadap sampel darah tiga anak lelaki berkenaan oleh Jabatan Kimia yang mendapati ia 99.99 peratus sepadan dengan Meng Tuck.   

"Kami menerima laporan polis daripada anak lelaki Fong pada Isnin lepas yang mendakwa mayat bapanya kemungkinan tersilap diberikan kepada keluarga lain dan polis kemudiannya membuka kertas siasatan kes berkenaan.  

"Ujian DNA dibuat berdasarkan sampel darah Fong yang diambil semasa proses bedah siasat dan hasil ujian itu dikeluarkan hari ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.  

Turut hadir, Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr Zahari Noor dan Pengerusi Lembaga
Pelawat HPP, Lim Thoon Deong.  

Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum ini dilapor tersalah menyerahkan mayat Meng Tuck kepada keluarga lain yang kebetulan turut menuntut mayat seorang lelaki berusia 73 tahun yang meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu.   

Mereka kemudian membawa pulang mayat itu dan melakukan upacara pembakaran sebelum abu mayat disimpan ahli keluarga berkenaan.     
Anak lelaki Meng Tuck yang mahu menuntut mayat bapanya kira-kira jam 2 petang terkejut apabila dimaklumkan mayat sudah tiada di HPP.

Mior Faridalathrash berkata, polis mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard semasa penyerahan mayat iaitu anak saudara kepada lelaki berusia 73 tahun itu tidak melakukan pengecaman kerana tidak tahan dengan bau mayat itu.   

"Wanita berusia 53 tahun itu beberapa kali muntah kerana tidak tahan bau mayat bapa saudaranya yang mati tiga hari sebelum ditemui dalam rumahnya dan tidak membuat pengecaman.   

"Dia hanya meminta pihak pengurusan mayat menguruskan mayat bapa saudaranya yang tidak mempunyai anak itu sebelum terus membawa ke tempat pembakaran di Mount Erskine dan membakarnya tanpa melihatnya terlebih dahulu," katanya. - Bernama

Mayat lelaki ditemui di bangunan terbengkalai



SUNGAI PETANI - Mayat lelaki dijumpai di kawasan bangunan terbengkalai berdekatan sebuah pasar raya di Pekan Baru, di sini, petang kelmarin.

Mangsa merupakan lelaki tempatan dipercayai gelandangan berusia 40-an didapati meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di atas tilam di tingkat satu bangunan berkenaan.

Berdasarkan sumber polis, mangsa yang dipercayai penagih dadah maut disebabkan kehilangan darah akibat suntikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, polis masih menyiasat identiti mangsa.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Perak hentikan lesen pusat hiburan keluarga tertutup


MUALLIM: Semua pusat hiburan keluarga tertutup yang beroperasi di kawasan premis perniagaan di negeri ini akan ditutup mulai tahun depan apabila kerajaan negeri memutuskan tidak akan memperbaharui lesen pusat hiburan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian haram.

Sejak 2015 hingga kini, ada 50 lesen pusat hiburan keluarga dikeluarkan dan daripada jumlah itu 34 diserbu polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana menyalahgunakan lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, berkata kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan drastik berikutan penyalahgunaan lesen pusat hiburan berkenaan.

Isu itu turut dibincangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini terutama yang membabitkan aktiviti perjudian.

Katanya, bagi pusat hiburan keluarga yang terdapat di pasar raya yang dijalankan secara terbuka, ia masih boleh beroperasi seperti biasa.

"Mulai 31 Disember ini semua pusat hiburan keluarga secara tertutup akan ditutup di seluruh negeri.

"Sehubungan itu Enakmen Tempat Hiburan 1997 akan dikaji dan dipinda kerana terdapat lompong dalam enakmen itu yang mengundang pengusaha pusat hiburan menyalahgunakan lesen berkenaan.

"Enakmen baharu akan lebih terperinci terhadap jenis aktiviti hiburan yang hendak dijalankan. Pengusaha yang ingin memohon lesen perjudian pula perlu mematuhi Akta Lesen Perjudian Terbuka," katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Motosports Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) di Tasek Embayu, Proton City, di sini, hari ini.

Karnival yang dijalankan selama dua hari dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Proton serta Majlis Belia Negeri (MBN).